Wednesday, 18 April 2012

Hati-Hati Dengan Kata-Kata Negatif Manusia


Di dunia ini, sedia kita maklumi bahawa, ada pelbagai jenis manusia. Ada yang amat periang, ada yang selalu senyum, amat pemarah, ada yang suka syok sendiri, suka riak dan berlagak pandai, tidak mahu mendengar pendapat orang, ada yang hanya tahu berkata-kata tapi hipokrit dan sejuta satu perangai lagi.

Sebelum saya terus menulis, saya ingin mengulangi lagi seperti yang saya katakan dahulu lagi, segala apa yang saya tulis adalah pendapat dan pandangan saya, tapi ia tidak semestinya betul dan perlu dipercayai dan diterima 100%. Anda baca dan nilailah dengan akal dan ilmu yang ada, bukan taqlid buta. Beringatlah selalu.


Di dalam perniagaan internet, kita sering menjumpai pelbagai jenis ragam manusia. Tatkala kita di peringkat awal memulakan perniagaan internet, kita banyak didatangi oleh mereka untuk memberikan nasihat kepada kita. Ada yang belum berjaya pun sudah mahu memberikan kita ‘peringatan’ dan nasihat, termasuklah yang sudah berjaya.


Ya, nasihat-nasihat ini amat bagus, teramat bagus sekali.


TETAPI, nasihat yang banyak, yang bercampur-aduk dan berbilang variasinya, akhirnya membuatkan seseorang yang menerima nasihat tadi bertambah keliru, “mana satu yang betul?”.


Si dia mengatakan A, yang lain mengatakan B dan pihak sana mengatakan C. Ada yang yang kata “ya”, ada yang kata “jangan”, ada yang kata “ok”, ada yang kata “benda tu tak betul”. Inilah pelbagai jenis pendapat manusia yang lain akal pemikirannya.


Sebagai contoh, katakan Ali bertanyakan satu soalan di forum: “macam mana nak mula ebiz ya?”. Maka, ramailah orang yang akan memberikan nasihat kepadanya. Beraneka jenis ‘nasihat’ dan pandangan:


“Awak buatlah affiliate dulu, mudah, kos rendah”.


“Buatlah adsense, dah ramai berjaya, lagipun mudah nak start”.


“Kalau tak nak ada produk sendiri, buatlah model dropship”.


“aku takat ni dah berjaya dalam ebiz buat servis jer. Buatlah apa yang kau mahir dan tahu..”.


“buatlah model produk digital macam ebook. Kos tak besar. Kalau tak tahu nak buat sendiri, gunalah produk RR, MRR dan PLR”.


Dan perhatikan pula pendapat negatif sebegini:


“Nak buat ebiz yer? First, tak perlu pergi seminar. Mengarut je banyak. Then, kau belajar je sendiri, tak perlu ada mentor. Benda kat internet ni banyak percuma!”.


“kau kalau nak buat duit kat internet, buat je model _ _ _ _ _ _ _. jangan mengada-ngada nak jual ebook ke apa”.


Dan banyak lagi pendapat-pendapat dan nasihat yang diberikan kepada si Ali. Pada mulanya beliau amat ‘excited’ dan bersemangat, namun akhirnya keliru yang diperolehi. Jalan terang yang mahu dicari, bersimpang-siur akhirnya.




Bukan tidak boleh bertanyakan pendapat di forum. Tetapi satu perkara yang perlu anda tahu, ia adalah tempat terbuka dan tiada sesiapa boleh menyekat seseorang ahli forum lain memberikan pendapatnya. Syarat yang perlu anda ada apabila mahu bertanyakan pendapat ramai orang, anda mestilah tahu memilih pendapat yang terbaik dan sesuai untuk anda.


TETAPI, andaikata anda seorang yang mudah lemah dengan pandangan yang negatif, mudah keliru dan tidak pandai memilih pendapat mana yang betul, maka nasihat saya, elakkan bertanya ramai orang.


Namun sifat biasa manusia, biasanya amat sukar untuk memilih dan membuat keputusan. Biasanya mudah keliru dan akhirnya masa terbuang begitu sahaja.


Penyelesaian?


Rujuklah satu pihak sahaja. Anda boleh bertanya kepada mana-mana usahawan internet yang telah ‘established’ mengenai permasalahan anda seperti apa yang perlu anda buat di saat awal permulaan. Mungkin anda boleh menyertai seminar mereka atau paling kurang hubungi mereka melalui emel atau membaca tulisan mereka (blog, buku, ebook..).


‘Established’ di sini bukan bermaksud sudah amat berjaya, tetapi mereka yang tahu apa yang perlu di peringkat awal. Ia sudah memadai. Kalau mahu merujuk mereka yang sudah berjaya, mungkin sedikit sukar melainkan anda membayar untuk masa mereka.


Dengan bertanya hanya pada satu pihak yang tahu apa yang patut untuk anda, ikutlah pandangan dan cadangan mereka. Tidak perlu lagi bertanyakan lain-lain orang dan pihak.


Hati-Hati…


Hatilah-hatilah di dunia ini. Begitu ramai yang berlagak pandai dan hanya tahu berkata-kata. Begitu ramai yang menyuruh orang berbuat itu dan ini, tapi dalam senyap dia sendiri melakukan yang bertentangan. Ini hipokrit namanya.


Hati-hatilah di dalam mendengar, membaca dan menerima pandangan manusia. Kadangkala ia terisi dengan niat yang jahat, kadangkala ia ikhlas dari dasar hati dan kadangkala ada niat lain di sebaliknya. Kita tidak dapat membaca apa niat dan tujuan mereka. TETAPI kita ada akal, ada keupayaan untuk menilai kata-kata mereka itu.


Nilailah dan nilailah dengan akal yang jernih sebelum menerima kata mereka. Jangan telan bulat-bulat dan jangan mudah terpedaya. Tak guna adanya akal kalau tidak mahu menilai dahulu.


Kata-Kata Negatif


Milikilah prinsip “percaya pada diri sendiri” dan sifat tidak mudah terpengaruh dengan kata-kata negatif manusia. Ingatlah satu pepatah, “kata-kata itu lebih tajam daripada mata pedang”. Jika anda lemah dan tiada prinsip yang teguh, anda mudah jatuh terbungkam apabila mendapat kata-kata yang begitu tajam.


Di dunia ini, kita begitu mudah mendapat sesuatu input yang negatif terutama daripada mereka yang tidak sukakan kita atau usaha yang dilakukan. Mereka akan berkata sesuatu dengan niat mahu menyakitkan hati kita, mahu melemahkan diri kita dan mengharap kita mengaku kalah.


Manusia sebegini memang ‘kotor’ hatinya kerana mahu melihat orang lain susah dan tidak mengerti bahawa dengan hanya kata-kata, mereka boleh memusnahkan hidup orang lain.


Jadi, hati-hati dengan kata yang negatif. Lindungilah diri anda dengan selalu berhubungan dengan mereka yang sama positif dengan anda. Jika anda seorang usahawan, selalulah berjumpa dan bersosial dengan usahawan yang lain. Wujudkanlah persekitaran yang lebih banyak ‘cas-cas positif’ agar yang negatif dapat dineutralkan.


Akhir sekali, “hati-hati dengan kata-kata negatif manusia. Ia mampu memusnahkan hidup anda”.


Wassalam.



EMRYS.COPYRIGHT